Showing posts with label REZEKI. Show all posts
Showing posts with label REZEKI. Show all posts


Berkahwin atau mendirikan rumah tangga merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW. Manakala sunnah itu sendiri merupakan satu amalan yang dijanjikan balasan pahala terhadap orang yang melakukannya.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Perkahwinan itu sunnahku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.”
(Riwayat Bukhari)

Hari ini sering kita melihat bahawa sesuatu perkahwinan itu menjadi perkara yang rumit dan menyusahkan. Mengapa perkara ini boleh terjadi? Ramai di antara kita yang beranggapan untuk berkahwin memerlukan kenderaan, memiliki rumah besar, wang yang banyak dan sebagainya.

Cuba kita renungkan dan mengambil iktibar dari kisah yang berlaku lebih kurang 1,400 tahun dahulu yang boleh kita jadikan panduan hidup ini. Insya Allah.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yang miskin. Kemudian ia meminta jalan keluar agar terlepas dari belengu kemiskinan. Tanpa berlenggah lagi, Rasulullah SAW terus menyuruh lelaki tersebut supaya berkahwin.

Lelaki tersebut sangat gembira dengan saranan yang diberikan Rasulullah. Dengan keyakinan yang mantap, akhirnya lelaki itu berkahwin.

Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan nasibnya, “Ya Rasulullah! Aku telahpun berkahwin, tetapi masih dalam keadaan miskin. Apa yang harus aku lakukan wahai Rasulullah?”. “Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat.

Si lelaki tersebut tidak banyak bertanya. Beliau mempercayai Rasulullah SAW sepenuhnya kerana tidak mungkin Rasulullah mahu menipu umatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi dengan gadis lain. Namun beberapa waktu kemudian lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan masalahnya :

“Wahai Rasulullah, isteriku sudah dua pun dua orang, tapi aku masih tetap miskin, bagaimana ya Rasulullah…?” keluh lelaki itu.” Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat. Hati lelaki itu berasa senang apabila mendengar jawapan Rasulullah. Kemudian beliau berkahwin buat kali ketiga.


Namun setelah beberapa lama, keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya ia berasa malu untuk mengadu kepada Rasulullah, tapi apakan daya ia masih tetap miskin. Dengan berat hati, beliau menemui Rasulullah dan menyampaikan masalahnya.

“Wahai Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yang harus aku lakukan? “, adu lelaki itu. “Berkahwinlah lagi,”kata Rasulullah. Akhirnya si lelaki itu menikah buat kali keempat.

Ternyata benarlah segala kata-kata Rasulullah. Ternyata isteri keempatnya ini membawa keberkatan perkahwinan di dalam kehidupannya. Dengan kepandaiannya menenun, ia mengajar kemahiran tersebut kepada ketiga-tiga madunya. Akhirnya usaha tersebut mendatangkan keuntungan dan kekayaan. Perusahaan industrinya semakin maju dan mampu mencukupi keperluan rumahtangga lelaki itu serta isteri-isterinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah rezeki dengan menikah”
(Riwayat Ibnu Abbas)

Firman Allah SWT yang bermaksud: ” Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. ”
(Surah an-Nur : 32)


Dengan mengambil iktibar dan teladan dari kisah di atas, Insya Allah jika niat kita ikhlas dan murni serta tujuan berkahwin itu kerana Allah, tidak mustahil segala gejala-gejala sosial dapat dihindarkan



 

Sesungguhnya, Rasulullah SAW ada menjelaskan bahawa salah satu dari ciri kesempurnaan iman seseorang adalah dia mencintai saudaranya melebihi cintanya pada dirinya sendiri. Daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda,

“Tidaklah (sempurna) iman seseorang di antara kalian hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”

Maka, amat jelas melalui keterangan hadis Nabi SAW bahawa cinta kepada saudara kita sesama Islam harus diamal dan dijiwai dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim. Kita tidak boleh menyakiti hati saudara-saudara kita dengan menggunakan jalan kehancuran dan kebinasaan seperti bercakap bohong, fitnah-menfitnah, mengaibkan saudara sendiri dan sebagainya. Tidaklah seseorang itu dianggap seorang Muslim yang sejati andai di dalam hatinya penuh dengan sifat mazmumah dan akhlak yang negatif.

Selain itu, cinta sesama Muslim seharusnya didasarkan kepada Allah Taala semata-mata. Daripada satu hadis yang driwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda, “Ada seorang mengunjungi saudaranya di desa lain, lalu Allah mengutus seorang malaikat untuk menemui orang itu.

Ketika orang tersebut sampai di desa yang dituju, malaikat bertanya,
 “Mahu ke mana kamu?”

Orang itu menjawab,
“Aku mahu menjenguk saudaraku di desa ini.”

Tanya malaikat selanjutnya,
“Apakah dengan mengunjunginya kau memperoleh banyak keuntungan?”

Orang itu menjawab,
“Tidak, aku hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.”

Malaikat itu mengatakan,
“Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk memberitahukan kamu bahawa Allah menyenangimu sebagaimana kamu menyenangi saudaramu kerana Allah.”

Oleh yang demikian, kita seharusnya saling tolong-menolong di antara satu sama lain tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak. Allah Taala mencipta makhluk di dunia ini bukanlah sebagai individu yang hidupnya seorang diri saja tapi sebagai makhluk di dunia yang hidup secara bersosial dan bermasyarakat. Jalinan ukhwah Islamiyyah yang kukuh harus dibina di antara kita bagaikan aur dan tebing terutamanya dalam menolong dan membantu saudara kita yang hidup dalam kesusahan. Bertepatanlah dengan firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud,

“Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran.”


SEDEKAH,REZEKI DAN DHUHA

Solat Dhuha ialah solat sunah yang dilakukan pada waktu pagi setelah matahari naik. [Anggaran jam 7.30 - 12.00 pagi]

GALAKAN
Hadis yang masyhur berkenaan solat ini adalah datangnya daripada riwayat Imam Muslim yang berbunyi:
Daripada Abu Dzarr r.a, daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda,


يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ

 فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ

وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ

وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ

وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.

"Bagi tiap-tiap ruas daripada anggota tubuh seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih [Subhanallah] adalah sedekah, setiap tahmid [Alhamdulillah] adalah sedekah, setia tahlil [La Ilaaha Illallah] adalah sedekah, setiap takbir [Allahu Akbar] adalah sedekah, menyuruh untuk melakukan kebaikan juga sedekah dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu dapat diganti dengan dua rakaat Solat Dhuha."

RAKAAT
Sesungguhnya, tiada batasan rakaat dalam mengerjakan solat Dhuha seperti yang pernah disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dalam sohihnya, Kitab 'Sholaatil Musaafiriin wa Qahruhaa' no. 719:


مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

يُصَلِّي صَلاَةَ الضُّحَى؟

قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.


Daripada Mu'adzah, dia berkata, "Aku bertanya kepada Saidatina 'Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah s.a.w mengerjakan solat Dhuha?

Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut apa yang baginda kehendaki."

[Nota: Boleh juga dilakukan sebanyak dua rakaat seperti yang disebutkan dalam hadis sebelum ini]

BONUS DARIPADA ALLAH
Bukanlah menjadi suatu kewajipan bagi umat Islam melaksanakan solat ini.
Namun, bukankah mengikuti sunah Nabi itu suatu permata yang sangat berharga?
Barangsiapa yang sering mengadu susah dan miskin, Allah telah memberikan tips yang cukup bermakna.
Bacalah hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no. 1097 yang berbunyi:

Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata, Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; Allah Azza Wa Jalla berfirman,


يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ

 فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.

"Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang [rezeki]."
 
DOA
Setelah selesai solat, alunkanlah doa ini dengan kesungguhan mengharapkan keredhaan daripada Allah.

"Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha, Dhuha-Mu, kecantikan, kecantikan-Mu, kekuatan, kekuatan-Mu, kekuasaan, kekuasaan-Mu, perlindungan, perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku di langit, turunkanlah, jika di bumi, keluarkanlah, jika susah, permudahkanlah, jika haram, kau sucikanlah, jika jauh, dekatkanlah, dengan berkat waktu dhuha-Mu, kecantikan-Mu, kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu, perlindungan-Mu. Jadikanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang soleh."

MHT: Solat Fardhu janganlah ditinggalkan. Untuk bekalan kita juga di akhirat kelak.

sumber
InstaForex

santai

Blogged.my